Allah akan Menggantikannya.

“Ayah, teringin nak makan pizza la.” Humaira’ tiba-tiba menukar topik perbualan ketika kami lalu di tepi kedai makan Martina yang dimiliki oleh muslim dan mempunyai status halal di dindingnya.

Padahal kedai itu bukan kedai pizza, tetapi kedai ayam golek dan ‘fish and chips’.

Sangka saya, mungkin Humaira’ teringat nostalgia beberapa bulan lepas ketika kedai Lazat Pizza masih beroperasi.

Sebelum kedai makan Martina itu ada di situ (Days Road), asalnya kedai itu adalah lokasi kepada kedai Lazat Pizza kepunyaan sahabat saya Umar Faruq yang kini telah ditutup.

Ketika Lazat Pizza masih dibuka, saya adalah antara pelanggan utamanya. Saya dan Humaira’ cukup menggemari Pizza di kedai Lazat Pizza kerana rasanya cukup unik dan istimewa.

Lebih sedap dari Pizza Hut di Malaysia.
“Tak ada hujan, tak ada ribut, tiba-tiba sebut nak makan pizza, kenapa pula?” Saya bertanya, cuba mengorek rahsia di sebalik pertanyaannya.

“Semalam di sekolah semua budak dapat makan pizza ‘free’, tapi Humaira’, Mariam dan Najlah tak dapat makan pizza tu.” Jelasnya, mematikan sangkaan saya sebelumnya.

“Eh, kenapa pula tak dapat?” Saya bertanya kembali, naïf.

“Sebab pizza tu tak halal la ayah! Jawabnya dengan separuh menjerit.

“Ayah, Humaira’ nampak pizza tu macam sedap sangat la ayah. Humaira’ rasa teringin sangat nak makan pizza.” Dia menyambung bicaranya dengan nada rayuan yang sungguh kasihan.

“Allah, ye ke” saya menjawab ringkas, kemudian terdiam. Kehilangan kata-kata.

Kasihan juga mendengarnya. Namun tidak semua keinginan anak-anak wajar dipenuhi.

Saya berfikir seketika kemudian memujuknya dengan sedikit ayat-ayat tarbiah.

“Tak mengapa Humaira’, apa sahaja perkara haram dan tidak halal yang Humaira’ tinggalkan, Allah akan gantikannya dengan sesuatu yang lebih baik lagi.”

“Sebagai contoh, Allah haramkan kita minum arak, tapi Allah halalkan kita minum macam-macam jenis air.”

“Air sirap, air tembikai, ABC, cendol, air oren, air laici, air soya, air teh, air bandung...dan macam-macam lagi.”

“Allah haramkan kita makan daging babi, anjing dan binatang yang tak disembelih, tapi Allah halalkan kita makan pelbagai jenis ikan, sotong, udang, ketam, ayam, daging kambing, rusa, lembu, biri-biri, itik dan macam-macam lagi Humaira’.”

“Allah itu maha adil Humaira’” terang saya dengan bahasa yang sesuai dengan usianya sambil terus memandu kereta menuju ke rumah Dr. Zaki untuk menyerahkan hadiah aquarium ikan sempena hari jadi anaknya.

Benar, dalam dunia ini, makanan dan minuman yang diharamkan Allah terlalu sedikit jika dibandingkan dengan makanan dan minuman yang halal.

Tapi malangnya, jahiliah yang mendominasi sistem kehidupan manusia hari ini telah menjadikan arak yang memabukkan itu sebagai hak asasi manusia untuk meminumnya

Sedangkan telah jelas di hadapan mata manusia bahawa tidak ada kebaikan dari arak itu melainkan hanya sedikit.

Berapa banyak nyawa yang melayang akibat pemandu mabuk.

Berapa banyak yang fungsi hatinya rosak akibat ketagihan arak.

Berapa banyak keluarga yang hancur bahana arak.

Sungguh menghairankan apa yang dinamakan sebagai hak asasi itu.

Sementara binatang yang diharamkan itu telah diternak secara besar-besaran sehingga menjadi bahan makanan utama di kebanyakan negara.

Sedangkan makanan dan minuman yang halal itu jauh lebih banyak, lebih sedap dan lebih selamat untuk dijamah.

Begitu juga dengan zina yang berleluasa.

Walaupun manusia punya pilihan yang lebih baik iaitu berkahwin, tapi tetap ramai yang memilih jalan zina.

Sedang zina itu adalah seburuk-buruk jalan, menghina wanita, merosakkan generasi dan keturunan.

Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji dan suatu jalan yang buruk. (Al Isra’:32)

Pada segala yang haram itu, ada kegelapan dan murka tuhan.

Pada segala yang halal itu, ada keberkatan dan bahagia. Juga redha Allah yang menenangkan jiwa.

Pulang dari rumah Dr. Zaki sekali lagi kami melalui jalan yang sama. Kali ini Humaira’ diam membisu ketika melintasi kedai Martina.

Ketika menghampiri kedai tersebut, tiba-tiba terngiang-ngiang di telinga nasihat saya kepada Humaira’ sebentar tadi.

“Apa sahaja perkara haram yang Humaira’ tinggalkan, Allah akan gantikannya dengan sesuatu yang lebih baik.”

Tanpa berlengah, saya terus memberi signal dan memberhentikan kereta saat melihat ada pizza di jual sebagai salah satu menu hidangannya.

“Jom Humaira’, tadi kata teringin nak makan pizza kan! Jom ayah belanja.”

“Yeaaayyyyy!!!” Jeritnya dengan gembira dari belakang sambil membuka tali pinggang kereta dengan pantas.

“Apa sahaja perkara haram yang Humaira’ tinggalkan, Allah akan gantikannya dengan sesuatu yang lebih baik.”


No comments:

Post a Comment